JAUNDIS ( PENYAKIT YANG ADA PADA BAYI )
Dicatat oleh MENJANA BI'AH SOLEHA DI BAWAH PIMPINAN ULAMAK di 2/28/2009 08:35:00 AMJaundis atau kekuningan biasa didapati di kalangan bayi-bayi yang berumur beberapa hari selepas dilahirkan. Adalah dianggarkan enam peratus bayi-bayi yang dilahirkan akan mengalami keadaan ini di negara ini.Kekuningan berlaku disebabkan oleh penghasilan bilirubin yang berlebihan di dalam badan. Bilirubin ini biasanya di musnahkan oleh hati atau sistem hepatobiliari. Jika kadar pemecahan sel-sel darah merah ini terlalu tinggi atau fungsi sistem hepatobiliari tidak memuaskan, tahap bilirubin ini akan menjadi tinggi di dalam salur darah. Inilah yang menyebabkan kulit dan bahagian putih mata kelihatan kuning. Terdapat pelbagai keadaan yang boleh menyebabkan kenaikan paras bilirubin ini iaitu peningkatan kadar pemusnahan sel-sel darah merah dan kemerosotan kadar proses pembuangan bilirubin dari tubuh melalui najis.
Jaundis yang biasa ditemui di kalangan bayi lazimnya mula dilihat selepas 48 jam bayi itu dilahirkan. Tahap kekuningan ini sampai kemuncaknya apabila bayi berusia lima hari. Selepas itu ia mula reda sehingga tidak lagi dikesan yang mana biasanya selepas sepuluh hari. Jaundis mula didapati di bahagian muka dan merebak kebahagian badan, perut serta kaki sekiranya tahap kekuningan terus meningkat.
Jaundis bukanlah suatu keadaan yang merunsingkan tetapi jika bayi kelihatan terlalu kuning ini boleh mengakibatkan keadaan yang dipanggil ‘kernikterus’. Seseorang bayi yang mengalami keadaan ini biasanya mula kelihatan kurang aktif, tidak mahu menyusu dan tubuhnya berasa lembut. Jika keadaan dibiarkan tanpa rawatan bayi mungkin mati. Walaupun bayi tersebut masih hidup, dalam masa beberapa bulan tubuh badannya menjadi lembut semula dan perkembangannya jelas lambat daripada kanak-kanak biasa. Kanak-kanak ini biasanya masih tidak boleh meniarap atau duduk walaupun usianya sudah dua tahun.
Walaubagaimanapun, di dalam sel-sel darah merah seseorang terdapatnya enzim yang di kenali sebagai G6PD iaitu Glukos 6 Phosphate Dehydrogenase. Kekurangan enzim ini boleh wujud kerana unsur genetik dan selalunya terdapat dikalangan bayi lelaki. Keadaan ini sering berlaku dikalangan kaum cina dan melayu dan jarang berlaku di kalangan kaum India. Kekurangan enzim ini boleh menyebabkan sel-sel darah merah pecah apabila bayi tersentuh atau termakan barang tertentu seperti kacang parang. Akibatnya tahap kekuningan meningkat dengan cepatnya. Kekurangan enzim G6PD adalah satu punca kenikterus yang penting di negara ini kerana ia merupakan sebab kecacatan yang boleh dicegah jika jaundis diberi rawatan segera sebelum melibatkan bahagian otak. Bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan lebih mudah mengalami jaundis dan biasanya akan ditahan di hospital sehingga saiznya cukup besar dan kekuningannya reda.
Bayi yang kekurangan enzim ini dapat dikesan dengan mudah melalui pemeriksaan darah di hospital. Pengesanan ini dilakukan dengan melakukan pemeriksaan ke atas beberapa titis darah yang didapati melalui tali pusat bayi semasa kelahirannya ataupun selepas itu melalui tumit kaki atau jari. Bayi-bayi ini perlu diberi pengawasan yang teliti.Walaubagaimanapun perlu ditegaskan bahawa jaundis yang dihidapi oleh bayi yang baru lahir agak berlainan sedikit daripada jaundis yang berlaku dikalangan orang dewasa dan juga bayi yang di luar lingkungan umur sebulan. Ini kerana jaundis yang berlaku dari umur sebulan dan seterusnya kurang berisiko mengalami kernikterus yang boleh merosakkan otak.